Pada 29 Julai 2025 (Selasa), Pejabat Pengurusan Akademik (PPA), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menerima kunjungan rasmi daripada delegasi Kolej Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ) sempena lawatan penanda aras berkaitan pelaksanaan program persediaan dan pengurusan peperiksaan Malaysian University English Test (MUET).
Delegasi KYPJ diketuai oleh Dr. Nor Aishah binti Abdul Aziz, Ketua Eksekutif KYPJ, dan turut disertai oleh Puan Shuhaida binti Baharum, Cik Mahanim binti Mahad, serta Cik Syazwani binti Zakaria, Pegawai Korporat merangkap Penyelaras MUET KYPJ. Kehadiran delegasi telah disambut oleh Dr. Aminah binti Abdul Rahman, Pengarah PPA bersama barisan Ketua Unit PPA.
Sesi kunjungan ini telah dimanfaatkan sebagai platform perkongsian maklumat dan pengalaman berkaitan amalan terbaik dalam pelaksanaan program persediaan MUET, termasuk pengurusan pusat peperiksaan, susun atur logistik peperiksaan, serta penggunaan bahan bantu mengajar dan sistem penilaian keberkesanan.
Pihak PPA merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kesudian pihak KYPJ mengadakan kunjungan ini. Adalah diharapkan jalinan hubungan ini dapat membuka lebih banyak ruang kolaborasi yang berimpak tinggi antara kedua-dua institusi pada masa akan datang.